PELANGI SEHABIS HUJAN
Salam Sejahtera.
Tidak dapat dinafikan hidup manusia hanya sebentar sahaja. Manusia tidak akan pernah puas dengan kehidupan. Namun suatu yang menjadi persoalan, sesingkat-singkat hidup manusia ini mengapa harus dihiasi dengan penderitaan, penyakit, masalah-masalah sosial, penganiayaan, kesibukan dan bermacam-macam lagi masalah kronik manusia. Mungkin bagi orang-orang percaya terhadap takdir akan pasrah dan menganggap itu semua adalah ketentuan Tuhan. Tuhan sudah mengatur semua sejarah hidup manusia sama ada dia memang ditentukan hidup susah dan ditentukan hidup senang. Penulis bukan tidak mempercayai takdir atau ketentuan Tuhan tapi bagi penulis Tuhan sudah menyediakan jalan yang baik kepada seseorang dan adalah terpulang kepada seseorang itu bagaiman ia harus melalui jalan tersebut. Penulis kekadang tersentuh melihat orang-orang yang memiliki masalah yang kronik hanya berdiam di atas masalahnya tanpa mahu mencari jalan keluar dan menemukan pertolongan Tuhan. Tidak sedikit juga daripada mereka yang terpaksa mengambil jalan pintas dengan membunuh diri. Penulis sendiri banyak mengalami masalah-masalah kehidupan dan penulis akui penulis tidak ada kekuatan menghadapi semua itu. Penulis masih ingat pada suatu ketika dulu, penulis sangat dibebani oleh bermacam-macam masalah termasuklah masalah perhubungan, yang bagi penulis adalah sukar penulis menghadapinya. Pernah terlintas di fikiran penulis untuk menyisihkan diri dari orang-orang kerana penulis sangat malu dan sudah tidak ada manusia di muka bumi ini yang memahami serta berbelas kesihan. Syukur kepada Tuhan kerana di sudut hati penulis yang terdalam, penulis masih percaya Tuhan mahu supaya penulis tabah dan tunggu masa Tuhan bertindak membebaskan penulis daripada semua permasalahan yang penulis hadapi. Sewaktu penulis masih bersekolah, penulis seperti hidup sendirian tanpa ada orang-orang yang melawat penulis di asrama, tidak ada wang belanja selama beberapa tahun bahkan ibu bapa penulis sendiri pun tidak pernah melawat penulis di asrama kerana keadaan kami yang berjauhan dan keadaan keluarga yang susah. Penulis bukannya lahir dari keluarga yang senang, memiliki harta dan bukan pula dari keluarga yang terhormat. Sejak kecil lagi penulis sudah merasakan apa itu kekurangan dan kesempitan hidup. Apa yang penulis cuba kongsikan di sini bukanlah kisah hidup penulis mahupun kekuatan penulis tetapi hikmah di sebalik kesusahan dan penderitaan yang penulis namakan "PELANGI SEHABIS HUJAN" Akibat daripada pengalaman-pengalaman perit itu mengajar penulis untuk terus tabah menjalani hidup dan melahirkan satu motivasi "melihat ke hadapan dengan cara Tuhan melihat". Inilah yang penulis maksudkan pelangi sehabis hujan. Tanpa melalui banyak penderitaan dan kesukaran tidak mungkin penulis dapat memahami erti hidup, tidak mungkin penulis menemukan nilai sebenar sebuah kehidupan bahkan penulis mungkin tidak mengenali Tuhan. Bagi penulis, semakin hidup menderita maka semakin itulah kita dapat menghargai pemberian Tuhan dan semakin dapat melihat dengan cara Tuhan melihat. Hikmah yang penulis perolehi daripada kesusahan bukanlah harta kekayaan atau kehormatan melainkan kekuatan untuk meneruskan hidup dengan bersandar penuh kepada Tuhan. Kesusahan serta masalah kronik mengajar penulis bahawa manusia tidak mampu dan langsung tidak punya kekuatan. Namun bila bersandar penuh kepada Tuhan maka hidup tidaklah begitu sukar seperti yang disangkakan dan masih mampu tersenyum manis walaupun di dalam penderitaan. Itulah yang jarang sekali difahami oleh kebanyakan orang. Ramai orang menganggap kesusahan, masalah, penderitaan serta penganiayaan itu suatu hukuman dan memperlihatkan ketidakadilan Allah. Tetapi ketahuilah bahawa itu semua adalah alat Tuhan untuk mengajar kita erti serta nilai sebenar kehidupan dan juga alat Tuhan untuk menyedarkan kita bahawa tanpa Allah menyertai maka hidup itu sukar. Oleh yang demikian, kepada teman-teman yang putus asa, janganlah menganggap penderitaan, kekecewaan, kesakitan dan masalah-masalah itu sebagai suatu hukuman atau memang anda sudah ditakdirkan begitu. SEKALI-KALI TIDAK!!! Ingatlah bahawa Allah sentiasa ada di sisi anda, masih mengontrol keadaan, masih mengasihi anda dan mahu menolong anda. Cuma bersandarlah kepada Allah dan percaya Allah ada rencana yang terindah untuk anda selepas ini. EMAS DIMURNIKAN DENGAN API YANG SANGAT PANAS, MANUSIA DIMURNIKAN DENGAN COBAAN-COBAAN HIDUP. TANPA HUJAN PELANGI TIDAK MUNGKIN ADA MELAINKAN SELEPAS HUJAN BARULAH PELANGI YANG SANGAT CANTIK KELIHATAN.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan