SISTEM/PENGURUSAN KEPIMPINAN/MENEJMEN GEREJAWI YANG SISTEMATIK
Pengenalan
Terdapat pelbagai tafsiran yang diberikan tentang kepimpinan, misalnya
Warren Bennis, menganggap bahawa inti kepemimpinan ialah melakukan hal
yang benar. McGregor Burns pula mengganggap kepemimpinan adalah
memuaskan dan mengembangkan potensi atau kebolehan diri pengikutnya.
Manakala Zakaria Ahmad memberikan tafsiran sebagai satu proses
perhubungan di antara dua atau lebih manusia di mana seseorang individu
itu cuba mempengaruhi yang lain ke arah pencapaian sesuatu matlamat atau
tujuan.
Menurut Dr. P. Octavianus (Manajemen dan Kepemimpinan Menurut Wahyu
Allah), Pemimpin gereja atau lebih tepat pemimpin pergerakan kerohanian
dalam Alkitab dan sejarah gereja, adalah mereka yang dipenuhi Roh Kudus.
Standard pendidikan belum cukup kalau tidak sungguh-sungguh dipenuhi
oleh Roh Allah.
Berdasarkan kepada Buku Panduan dan Peraturan SIB, seorang pemimpin
harus memimpin orang ke suatu arah tertentu. Ia harus mengetahui di mana
tempatnya sekarang, tempat mana yang ditujuinya dan jalan-jalan yang
harus diikutinya untuk mencapai tempat yang ditujuinya itu.
Berdasarkan kepada pernyataaan di atas, kepimpinan dan pemimpin adalah
saling berkaitan rapat. Pemimpin adalah individu yang berpengaruh bagi
melaksanakan pengurusan di dalam sesebuah organisasi.
Definisi Pengurusan
Menurur Robbins dan Decenzo (2001 ), pengurusan bermaksud proses
menyempurnakan sesuatu tugas dengan cekap dan berkesan dengan individu
lain. Mankala Dessler (2001) pula mendefinisikan pengurusan dalam dua
deminsi iaitu pengurus dan apa yang dilakukan oleh seorang pengurus.
Professor Syed Othman-habshi pula berpendapat bahawa pengurusan ialah
satu proses mendapat dan mencantumkan sumber kewangan, modal, tenaga
manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam
bentuk barangan atau perkhidmatan. Pengurusan itu sebenarnya melibatkan
dua faktor iatu modal, tenaga manusia dan alam digabungkan dengan kos,
teknologi, kecekapan, jumlah hasil dan jualan serta keuntungan.
Berdasarkan kepada takrifan di atas, dapat dirumuskan bahawa pengurusan
ialah sebagai kemahiran dalam perancangan dan pelaksanaan untuk mencapi
sesuatu matlamat.
Definisi Sidang
Berdasarkan Buku Panduan Dan Peraturan Sidang Injil Borneo, memperincikan sidang seperti berikut;
“Sidang
dapat diperhatikan dari dua segi: iaitu sidang Umum dan Sidang
Tempatan. Erti dasar daripada Sidang ialah SIDANG UMUM yang merupakan
tubuh Kristus yang terdiri dari semua orang yang bersungguh-sungguh
percaya kepada Tuhan Yesus Kristus, dari segala negara dan bangsa, pada
segala jaman, dan bentuk tempatan daripadanya ialah SIDANG TEMPATAN yang
merupakan segolongan orang percaya yang biasa berhimpun di suatu tempat
tertentu. Sungguhpun begitu, bukan setiap golongan orang percaya yang
terbentuk sebuah sidang. Rumusan sidang tempatan di dalam SIB ialah
persekutuan orang percaya di suatu tempat tertentu, dengan beberapa
orang diantaranya yang sudah dibaptis, mempunyai pemimpin-pemimpin
sendiri dan yang berkumpul secara teratur untuk berbakti, mendengan
Firman Tuhan dan mengadakan perjamuan Tuhan”. (Sidang Injil Borneo; Panduan Dan Peraturan SIB).
Berdasarkan
buku panduan dan peraturan Sidang Injil Borneo terdapat tiga prinsip
dalam Firman Tuhan yang menjadi dasar pengurusan sidang iaitu;
- Kristuslah Kepala Sidang (Kol 1:18). Dialah yang mempunyai sidang; Ia mendirikannya (Mat 16: 18), memerintahahinya dan menyempurnanya (Ef 5:26-27). PengepalaanNya dilaksanakan oleh kuasa FirmanNya yang tertulis (iaitu Perjanjian Lama dan Perjanjian Baharu) dan oleh kuasa Rohnya dalam kehidupan orang percaya.
- Semua orang yang sungguh-sungguh percaya adalah anggota tubuh Kristus, yang telah diberiNya bermacam-macam karunia untuk membangun Sidang (1 Kor 12:4-31; Ef 4:4-16). Supaya sidang dapat melaksanakan tugasnya dengan sepatutnya, karunia-karunia semua anggotanya harus dipergunakan dengan teratur, dengan lemah lembut dan dengan merendahkan diri seorang terhadap yang lain.
- Pelayan-pelayan sidang atau jikalau dikehendaki penatua-penatua (termasuk gembala) dipilih untuk memimpin sidang supaya pekerjaan sidang itu dapat dijalankan dengan selayaknya dan supaya sidang dipelihara dari ajaran palsu (Kis 6:1-6; 1Tim 3:3-13; Tit 1: 5-9; 1Pet 5: 1-4)
Berdasarkan kepada prinsip-prinsip ini, setiap sidang tempatan harus
diurus sesuai dengan ajaran dalam Firman Tuhan, dipimpin oleh pegawai
sidang yang terpilih, serta mempergunakan karunia-karunia rohani yang
telah diterima oleh anggota masing-masing.
Tidak dinafikan bahawa pengurusan geraja yang mantap adalah hasil
daripada pengurusan yang sistematik dan berlandaskan kepada Alkitab
sebagai bahan rujukan dan panduan yang utama. Berikut adalah beberapa
perkara yang boleh memacu pertumbuhan gereja yang lebih mantap.
Ada sesetengah kawasan dalam SIB mentafsirkan dan memakai dua sistem kepimpinan dalam sesuatu sidang iaitu Pengerusi Sidang dan Ketua Sidang. Bagi kebanyakan orang, Pengerusi dan Ketua Sidang itu tidak dibezakan kerana Pengerusi bermakna Ketua Sidang. Walau bagaimana pun, ada gereja yang membuat perbezaan iaitu Pengerusi Sidang dan Ketua Sidang tidak sama. Ini kerana Pengerusi itu harus disandang oleh orang lain iaitu seorang Penatua atau Diakon yang berasal dari Sidang tersebut manakala Ketua Sidang itu ialah seorang Pastor. Pandangan ini ada betulnya tetapi terpesong jauh kerana sebagai seorang percaya, kita tidak dapat bertindak melebihi otoritas Alkitab. Alkitab menyatakan bahawa Yesus ialah pendiri Sidang dan kepala atas semua orang percaya. Kerana itu Yesus adalah Ketua sidang dan bukan seorang pastor atau Penatua, manakala ketua menejmen atau ketua organisasi adalah disebut pengerusi Sidang dan bukan ketua Sidang. Pengerusi Sidang ialah seorang yang bertanggungjawab terhadap sidang dengan mengatur, mengelola dan sebagainya sesuai seperti yang dikatakan oleh Firman Allah iaitu seorang yang sudah matang imannya, terkenal baik, tidak peminum, dipenuhi Roh Kudus dan sebagainya. Namun pun demikian, itu semua tidak cukup tanpa pengerusi itu sendiri tidak dalam pengetahuannya mengenai dengan Teologi. Kerana itu, jika ada pastor yang melayani dalam Sidang itu maka sudah seharusnya pastor akan menjadi pengerusi Sidang tanpa diundi kerana pastor adalah pekerja penuh masa gereja.
Misi dan Visi
Gereja yang bertumbuh adalah gereja yang berkeupayaan untuk melihat
peluang dan cabaran yang mungkin dihadapi pada masa akan datang. Setaiap
gereja seharusnya berkeupayaan untuk menyatakan Misi dan Visi dengan
jelas agar pengurusan gereja atau sidang mempunyai hala tuju yang jelas.
Perkara ini amat membantu untuk mencapai sasaran dengan jelas dan
cara-cara atau perancangan strategik untuk mencapainya. Seorang
pemimpin merumuskan visi bersama, menggerakkan orang bersamanya dan
menghasilkan transformasi. Bagi seorang Kristen, seorang pemimpin adalah
seorang yang memotivasikan dan menghasilkan seseuatu perubahan
terhadap komuniti yang dipimpinnya.
Pentadbiran Organisasi Yang Mantap
Organisasi
Organisasi boleh dilihat dari dua sudut iaitu sebagai satu entiti dan
sebagai satu proses. Sebagai satu entiti ianya boleh dimengertikan
sebagai satu kesatuan atau susunan yang sistematik terdiri daripada
bahagian-bahagian di dalam sesuatu pertubuhan atau perkumpulan atau
perbadanan untuk tujuan-tujuan tertentu demi kepentingan bersama
(Zakaria Ahmad; 1990). Oleh yang demikian sesebuah organisasi yang
dinamik dan sistematik adalah dianggotai oleh sekumpulan individu yang
bekerjasama untuk mencapai matlamat yang diketui oleh seorang pemimpin.
Prinsip-prinsip Organisasi
Kejayaan sesebuah organisasi adalah bergantung kepada beberapa prinsip.
Di antara prinsip-prinsip organisasi adalah seperti berikut;
i. Memiliki objektif
Tiap-tiap
organisasi yang diwujudkan mesti mempunyai objektif atau beberapa
objektif. Pada kebiasaan organisasi akan dibahagikan kepada beberapa
unit dan unit-unit ini akan bergerak menyumbang ke arah pencapaian
objektif organisasi secara menyeluruh. Tiap-tiap unit hendaklah diberi
objektif yang jelas supaya matlamat bersama tercapai.
ii. Keselarasan Arahan
Organisasi
mesti mempunyai seorang ketua dan aktivitinya di atur berdasarkan
kepada objektif yang sama. Perkara ini penting untuk menjamin
keselarasan arahan.
iii. Keselarasan Perintah
Prinsip
ini menyatakan bahawa tiap-tiap individu menerima perintah atau arahan
dari seorang ketua dan bertanggungjawab kepadanya. Jika tidak, akan
berlaku konflik dikalangan orang yang dipimpin atau anggota yang
dipimpin.. Jika situasi ini akan berlaku akan menimbulkan salah faham
dan menambah kesilapan dan kerja yang kurang produktif.
iv. Pengkhususan Kerja
Bagi
menjamin kecekapan dan mengurangkan pembaziran serta mengelakkan
pertindihan dan perulangan tanggungjawab, tiap-tiap individu, unit atau
bahagian akan diberikan tugas yang tertentu. Di dalam pengurusan gereja
secara umumnya terdapat empat pengkhususan kerja yang jelas iaitu Majlis
Sidang, Persekutuan Wanita, Persekutan Pemuda Pemudi dan Persekutuan
Sekolah Minggu. Setiap cabang persekutan ini haruslah memainkan peranan
yang dinamik dan mengenali dengan jelas kebolehan setiap anggota yang
terdapat di dalamnya.
v. Delegasi
Pengagihan
kerja atau tugasan oleh ketua kepada orang-orang yang dipimpinnya
berdasarkan kepada kebolehan dan kemahiran masing-masing. Kebiasaanya
ketua akan mewakilkan beberapa kerja kepada individu-individu yang layak
untuk menjalankannya. Walau bagimanapun ketua masih bertanggungjawab
mengenai hasil kerja dan implikasi-implikasinya.
vi. Kuasa dan Tanggungjawab
Kuasa
dan tanggungjawab hendaklah digunakan atau diberikan secara berpatutan
apabila tugas diberi kepada pekerja-pekerja bawahannya supaya
tanggungjawab dapat dijalankan dengan lancar.
vii. Kemampuan kawalan
Mengikut
prinsip ini seseorang ketua mampu bertanggungjawab dan menyelia
beberapa orang pekerja di bawahnya. Bilangan ini adalah tertakluk kepada
jenis kerja yang dijalankan. Setiap kerja atau sasaran yang telah
ditetapkan haruslah di pantau atau diselia untuk mengenal pasti kemajuan
yang berjaya dicapai di samping mengenal pasti halangan atau cabaran
yang di hadapi.
viii. Hiraki
Organisasi
dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu atasan, pertengahan dan
bawahan. Pembahagian kerja dan kuasa adalah berdasarkan kepada kedudukan
dimana individu itu berada.
ix. Perseimbangan
Ketua
organisasi adalah bertanggungjawab untuk memberikan perhatianya yang
adil kepada semua fungsi pengurusan dan memberi layanan yang adil kepada
semua pekerja di bawah jagaannya.
x. Latihan Kepimpinan
Setiap
individu yang terdapat di dalam pentadbiran atau organisasi perlu
diberi kursus atau orentasi bagi memberikan kefahaman terhadap peranan
dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. Latihan kerohanian hendaklah
diberikan penekanan. Latihan yang berterusan adalah diperlukan supaya
pendidikan kemanusiaan diberi penekanan. Kursus kepimpinan perlu diberi
dari masa ke semasa.
xi. Hubungan Kepimpinan Dan Organisasi
Tidak
dinafikan bahawa perhubungan atau komunikasi di kalangan kepimpinan di
dalam sesebuah organisasi memainkan peranan yang penting untuk
mewujudkan keharmonian bagi mengelakkan salah faham. Organisasi
diwujudkan untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Kerja mesti
diurus secara bertanggungjawab dan dedikasi. Tercapai atau tidak
matlamat yang telah ditetapkan bergantung kepada keberkesanan corak
kepimpinan yang diamalkan oleh organisasi tersebut. Semua ini memerlukan
kerjasama dan pemimpin-pemimpin yang berkesan.
Strategi Pelaksanaan Memantapkan Pentadbiran Gereja
Kristus
adalah kepala kepada semua perkara di dalam hal-ehwal gereja. Akan
tetapi di dalam pelaksanaannya faktor atau sumber manusia juga memainkan
peranan yang penting. Berikut adalah beberapa langkah atau saranan bagi
memantapkan lagi pentadbiran gereja.
i. Memantapkan Sumber Manusia
Pemimpin
itu penting untuk mengetuai sesebuah organisasi. Seorang pemimpin bukan
saja berkamahiran didalam selok belok pengurusan akan tetapi ia juga
memerlukan pemantapan rohani. Bersandar kepada kekuatan manusia adalah
usaha yang sia-sia. Kerana apa yang dilakukan atas dasar manusia akan
mengharapkan sesuatu ganjaran yang nyata secara material terhadap
usaha-usaha yang dilakukan. Pekerjaan atau pelayanan terhadap Tuhan
adalah berlandaskan kepada penggilan daripada Tuhan untuk melaksanakan
misinya di muka bumi ini.
Ilmu
pengetahuan yang mantap terhadap kerohanian amat diperlukan oleh setiap
pemimpin gereja kerana kepimpinan duniawi dan kepimpinan rohani adalah
berbeza sebagaimana yang dijelaskan didalam firman tuhan berikut;
Tetapi
Yesus memanggil mereka lalu berkata: Kamu tahu, bahwa mereka yang
disebut pemerintah bangsa-bangsa memerintah rakyatnya dengan tangan
besi, dan pembesar-pembesarnya menjalankan kuasanya dengan keras atas
mereka.
(Markus 10:42-44)
Seorang pemimpin duniawi memerintahkan dan manaruh kuasa atas rakyat
atau pengikutnya dan sering menggunakan kuasa untuk kepentingan diri.
Seorang pemimpin rohani melaksanakan kepimpinan di bawah pengepalaan
Kristus serta melayani orang yang dipimpinnya dengan kasih. Mengamalkan
keperibadian yang baik dan bersedia menyerhkan diri untuk melayani
dengan rendah hati dan berusaha bersungguh-sungguh memperdalamkan
pengetahuan para jemaat yang dipimpin terhadap kerohanian.
ii. Menilai Kemajuan Sidang
Seorang
peimpin haruslah berkebolehan menilai kemajuan atau perkembangan sidang
yang dipimpin dari masa ke semasa. Segala kelemahan diperhatikan dan
diambil tindakan yang sewajarnya untuk mengatasinya. Kemajuan sidang
bukan semata-mata diukur kerana banyaknya harta akan tetapi kemajuan
sebenar sesebuah gereja adalah kualiti Iman bagi setiap anggotanya.
Kebajikan anggota sidang harus diperhatikan agar mereka merasakan diri
dihargai.
iii. Bersikap Terbuka
Seorang
pemimpin sidang yang baik bukan saja berwawasan akan tetapi bersedia
menerima teguran atau kritikan yang membina daripada anggota yang
dipimpinnya. Sikap ini akan mendorong jemaat untuk memberikan
cadangan-cadangan yang membina demi kebaikan bersama.
iv. Mempunyai Perancangan Jangka Pendek dan Jangka Panjang
Perancangan
adalah panduan bagi kepimpinan gereja untuk menggerakkan aktiviti.
Setiap perancangan dirancang dengan teliti agar tidak terlalu
membebankan dari segai masa dan tenaga. Perancangan boleh dibuat secara
berperingkat seperti 10 tahun, 5 tahun, 1 tahun atau bulan mengikuti
kesesuaian dan persetujuan daripada anggota-anggota yang lain.
v. Memiliki Keperibadian Yang baik
Seorang
pemimpin haruslah memiliki sifat-sifat yang baik agar menjadi contoh
teladan yang baik kepada jemaatnya. Antara sifat yang perlu ada bagi
seorang pemimpin adalah seperti berikut;
a. Tidak Bercacat (1 Tim 3:2). Secara harfiah, ungkapan itu bererti “tidak ada pun yang herus diperbaiki” , iaitu
seharusnya dalam kehidupannya sama sekali tidak ada yang digunakan oleh
Iblis atau orang yang belum diselamatkan untuk mengkritik atau
menyerang jemaat – Warren W.Wiersbe (1981).
b. Memiliki Kawalan Diri Yang Baik (1 Timotius 3:2) agar mempunyai kesabaran tidak bertindak secara terburu-buru di dalam membuat sesuatu keputusan.
c. Bijaksana (1
Timotius 3:2) didalam membuat keptusan dan kemahiran yang tinggi
terhadap firman Tuhan. Perkara ini penting agar pengajaran yang
disampaikan kepada jemaat dapat dilaksanakan dengan betul.
d. Bukan Pemarah (1 Timotius 3:3), Tidak suka bertangkar atau suka mencari-cari kesalahan orang lain.
e. Tidak Rasuah atau Tamak (1 Timotius 3:3), tidak menggunakan pelayanan untuk mengumpul kekayaan untuk kepentingan sendiri.
f. Peramah dan Sopan
(1 Timotius 3:3), mengamalkan sikap ramah dan sopan kepada jemaat atau
sesiapa sahaja semasa melakukan urusan dan pada masa yang sama bersedia
untuk mendengar pendapat orang lain.
g. Tidak Bercabang Lidah
(1 Timotus 3:8), merupakan sikap suka menipu, berbohong atau memfitnah
orang lain. Seorang peimpin seharusnya jujur di dalam segala
perlakuannya.
h. Bukan Pemabuk
(1 Timotius 3:8), perkara ini bukan saja tidak sopan akan tetapi banyak
mendatangkan keburukan terhadap kesihatan rohani, mental dan fizikal.
Orang yang mabuk tidak mempunyai kawalan diri dari segi tingkahlaku atau
pertuturan.
i. Dapat menyampaikan ajaran yang benar
(1 Timotius 3:2) terhadap jemaah yang dipimpin. Mengajar firman Allah
adalah salah satu pelayanan yang utama bagi seorang pemimpin. Oleh itu
seorang pemimpin seharusnya memiliki keinginan yang tinggi untuk
mempertingkatkan ilmu pengetahuan dari masa ke semasa.
j. Suka Memberi Tumpangan
(1 Tim 3:2), memiliki kasih. Ini adalah suatu pelayanan yang penting
dalam jemaat yang mula-mula kerana orang-orang percaya yang mengadakan
perjalanan jauh memerlukan tempat penginapan
(Rom 12:13)
Kesimpulan
Sesungguhnya pemantapan pengurusan gereja amat diperlukan untuk
melaksanakan pembangunan dan perkembangan gereja pada masa depan.
Komedenan dan kecanggihan teknologi maklumat telah memberikan cabaran
yang lebih berat kepada para pemimpin kerana melalui perkembangan ini
manusia lebih bersikap individualistik dan materialistik yang
menyebabkan mereka lupa kepada Tuhan. Oleh itu setiap pemimpin pada
setiap peringkat perlu berusaha untuk meningkatkan ilmu pengetahuan dan
pemantapan kerohanian bagi mengatasi segala cabaran yang mendatang.
Rujukan
SIB Sabah (1989). Buku Panduan Dan Peraturan Sidang Injil Borneo.SIB Sabah dan Sarawak: Sidang Injil Borneo
Warren W.Wiersbe (1981). Setia Di Dalam Kristus. Bandung: Yayasan Kalam Hidup.
Richard Samporoh (1999). Sejarah Gereja Sidang Injil Borneo: Nipuhawang Publishing:
Kuala Lumpur
Robert E Coleman (1972). Perancangan Pelan Induk Untuk Penginjilan. National
Evangelical Christian Fellowship Malaysia: Malaysia.
Robert H.Schuller (1992). Keuletan Kunci Keberhasilan. PT BPK Gunung Mulia:
Jakarta.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Pembelajaran Akses Kendiri. Kuala Lumpur:
Kementerian Pendidikan Malaysia.
Pusat Perkembangan Kurikulum. (2001). Falsafah Pendidikan Kebangsaan, Matlamat dan
Misi. Kuala Lumpur: Kementerian Pendidikan Malaysia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan